Puan Napisah Bt Ali Basah
(Pengerusi wanita PBB Kg Hilir Kuala Matu)

Aktiviti kaum hawa di Kampung Kuala Matu

Golongan hawa Kampung Kuala Hilir Matu juga tidak ketinggalan dan sentiasa aktif melaksanakan pelbagai aktiviti untuk mengisi masa lapang selain menghabiskan masa di kebun. Persatuan Ekonomi Rumah Tangga (ERT) di bawah kelolaan Jabatan Pertanian Mukah telah merancang dan melaksana pelbagai aktiviti seperti memasak, menjahit dan menggubah bunga.Selain itu, golongan wanita di kampung ini juga mengusahakan perniagaan udang kering dan obor-obor sebagai kerja sampingan di bawah bimbingan  Jabatan Pertanian Mukah. Kebiasaannya, jualan dibuat mengikut hasil yang mereka perolehi. Produk tempatan yang mendapat sambutan menggalakkan ialah udang kering yang dikenali sebagai ‘sesa unjur’. Harga bagi sekilogram udang ini ialah RM80.00.

Di samping itu, wanita Kuala Hilir Matu juga mahir menganyam ‘babat’ yang diperbuat daripada bemban. Aktiviti menganyam babat ini dilakukan untuk mengisi masa lapang dan ia digunakan untuk  memanggang udang. Bemban ialah sejenis pokok rotan yang tumbuh liar dan banyak terdapat di Negeri Sarawak. Ia digunakan untuk menganyam tikar, bakul dan sebagainya. Batang bemban akan disiat nipis-nipis dan dijemur sebelum proses menganyam babat dilakukan.

 

Babat yang di anyam oleh golongan wanita di kampung ini untuk memanggang udang